Pemandu maut, enam murid terselamat kereta terbalik

Seorang lelaki maut manakala enam murid sekolah mengalami cedera ringan selepas kenderaan dinaikinya terbalik akibat dilanggar sebuah kereta yang keluar dari simpang di Jalan Saujana Putra. - Foto Bomba
Seorang lelaki maut manakala enam murid sekolah mengalami cedera ringan selepas kenderaan dinaikinya terbalik akibat dilanggar sebuah kereta yang keluar dari simpang di Jalan Saujana Putra. - Foto Bomba
A
A
A

SUNGAI BULOH - Enam murid Tahun Satu terselamat apabila mengalami cedera ringan selepas kenderaan jenis Proton Exora dinaiki mereka dilanggar menyebabkan kereta itu terbalik mengakibatkan pemandunya terbunuh di Jalan Saujana Utama, di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 tengah hari.

"Maklumat diterima dari saksi di tempat kejadian mengatakan kemalangan berlaku apabila sebuah Perodua Aruz dipandu seorang wanita bersama seorang penumpang yang keluar dari simpang telah melanggar Proton Exora berkenaan.

"Pemandu Proton Exora seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua murid yang baru pulang dari persekolahan sesi pagi itu hanya mengalami cedera ringan dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Pemandu dan penumpang Perodua Aruz hanya mengalami kesukaran untuk bernafas tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan juga telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," ujarnya.