Kerajaan tiada kesungguhan selesai isu rakyat: Gunaraj

Harga siling ayam yang baharu meningkat kepada RM9.40. Gambar kecil: Gunaraj George
Harga siling ayam yang baharu meningkat kepada RM9.40. Gambar kecil: Gunaraj George
A
A
A
SHAH ALAM - Lonjakan kenaikan harga barang ketika ini memberi kesan langsung kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan menjadi isu utama rakyat Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, namun kerajaan dilihat tidak mempunyai kesungguhan politik dalam menyelesaikan perkara itu dengan ikhlas.

Malah menurutnya, dalam keadaan ekonomi terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal menjadi bertambah parah kesan dari peningkatan harga barang.

"Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

"Pakar-pakar ekonomi sejak tahun lalu sudah menjangkakan akan berlaku peningkatan inflasi yang mendadak pertengahan tahun 2022, namun mengapa baru sekarang kerajaan mewujudkan pasukan khas untuk menangani inflasi?

"Kerajaan sewajarnya sudah mempunyai pelan tindakan dan telah melaksanakan langkah proaktif dan bukan menubuhkan jawatankuasa khas yang baru hendak bermesyuarat," soalnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkaitan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram dan kawalan harga siling ayam serta telur ayam bermula 1 Julai, menguatkan lagi bahangnya.

Beliau menyifatkan, tiada sebarang mekanisme baharu dilaksanakan bagi mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup dan hanya mengumumkan harga siling ayam yang baharu iaitu RM9.40.

Gunaraj kesal apabila tidak diperincikan bagaimana harga siling ayam ini dapat menjamin tiada kenaikan harga ayam di pasaran apabila peniaga kekal mengenakan caj pemotongan ayam setiap kilogram.

Beliau sehubungan itu menggesa ahli politik yang memegang kuasa untuk menghentikan permainan politik dalaman mereka dan berkhidmat kepada rakyat.

"Rakyat sedang bergelut untuk mencatu makanan, Ahli Parlimen UMNO sedang sibuk bertelagah mengenai kuasa sesama sendiri.

"Melihat situasi mendesak hari ke hari, tidak wajar kerajaan menyuruh rakyat memahami dengan kenaikan harga barang dan sebagai kerajaan, setiap menteri yang dilantik wajar mencari jalan memulihkan kesengsaraan rakyat," katanya.

Katanya lagi, jika tiada langkah proaktif diambil oleh kerajaan termasuk mengawal selia kenaikan harga barangan melalui agensi-agensinya, negara berkemungkinan besar akan berada dalam keadaan inflasi melampau.

Menurutnya, segala strategi dan inisiatif perlu diambil untuk memastikan harga barangan dan makanan tidak terus naik kerana ia merupakan bom jangka yang amat berbahaya.

"Lazimnya, apabila harga barangan atau makanan sudah naik, sukar untuk turun dan kita telah mengalami perkara ini berulang kali.

"Perdana Menteri UMNO dan Menteri KPDNHEP perlu agresif menjaga nasib rakyat dan jangan memberi jawapan akan dipantau atau akan diselesaikan kerana jawapan tersebut sangat membosankan rakyat semua.

"Rakyat hari ini memerlukan satu tindakan yang komprehensif dalam menangani kenaikan harga barang yang dilihat seperti sudah hilang kawalan," katanya

Beliau turut mencadangkan agar Perdana Menteri, menteri dan wakil rakyat dipotong gaji bulanan jika kerajaan masih gagal menyelesaikan kemelut ekonomi negara dengan kadar segera.

"Perkara ini wajar kerana, sebagai pemimpin yang telah diberikan kuasa telah gagal membela nasib rakyat yang sedang sengsara," tambahnya.