Bekalan satu gol iringi UPNM berdepan UKM

Antara aksi menarik UPNM menentang UKM (kiri) dalam perlawanan akhir pertama Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022 di Stadium UPNM, Sungai Besi pada Selasa.
Antara aksi menarik UPNM menentang UKM (kiri) dalam perlawanan akhir pertama Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022 di Stadium UPNM, Sungai Besi pada Selasa.
A
A
A

UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membawa bekalan tipis menjelang aksi timbal balik perlawanan akhir kedua Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022 apabila sekadar melakar kemenangan 1-0 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Stadium UPNM, Sungai Besi pada Selasa.

UPNM yang mendapat sokongan padu dalam kalangan para pemain ke-12 bermula garang apabila mengasak sebaik permainan bermula menyaksikan kapten pasukan tuan rumah, N Thinesvarman terlebih dulu meletakkan pasukannya di hadapan dengan gol pertama seawal minit kedua perlawanan.

Bagaimanapun, selepas itu corak permainan UKM kembali lebih tersusun apabila banyak melakukan serangan ke arah pintu gol UPNM, menyaksikan peluang terbaik menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-35, namun percubaan Nazrin Aiman Azmi tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, G Navind Raj.

Bersambung babak kedua pelawat terus menguasai permainan menyaksikan gandingan Muhammad Imran dan Nazrin Aiman di bahagian tengah sentiasa menguji bahagian benteng UPNM.

Namun ketumpulan jentera depan UKM menyaksikan deretan percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan selain kecemerlangan Navind Raj di gawang gol.

Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada perlawanan akhir kedua di Stadium UKM, Bangi pada 5 Julai ini.