Warga Bangladesh maut disamun hari pertama bekerja

S Vijaya Rao (tengah) menunjukkan gambar keadaan mangsa ketika ditemui di lokasi kejadian.
S Vijaya Rao (tengah) menunjukkan gambar keadaan mangsa ketika ditemui di lokasi kejadian.
A
A
A

KLANG - Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut dipercayai disamun dalam kejadian di Batu 5 1/2 Jalan Haji Abdul Manan pada 15 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa sebelum itu ditemui di lokasi kejadian dalam keadaan besi tertusuk di bahagian belakang kepalanya pada 13 Jun lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berumur 42 tahun ditemui dalam keadaan parah setelah tertusuk besi.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa samun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini pada Khamis.

Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.03 petang 15 Jun lalu selepas dua hari menerima rawatan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa mempunyai unsur jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan dijalankan turut mendapati kejadian berlaku ketika mangsa baru hari pertama bekerja di sebuah kilang berhampiran lokasi kejadian.

"Mangsa sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur, berhenti sebelum bekerja di sebuah kilang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-32913344 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan You Swee Leong menerusi talian 012-4071452," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.