11 atlet Kedah terima ganjaran RM21,000

Muhammad Sanusi bergambar bersama sebahagian atlet Kedah yang menerima ganjaran atas kejayaan di peringkat antarabangsa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Rabu.
Muhammad Sanusi bergambar bersama sebahagian atlet Kedah yang menerima ganjaran atas kejayaan di peringkat antarabangsa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KERAJAAN Negeri Kedah memberikan ganjaran berjumlah RM21,000 kepada 11 atlet dari negeri ini yang mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-41 di India.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemberian imbuhan tersebut diharapkan mampu menjadi perangsang kepada atlet-atlet lain supaya lebih gigih berlatih demi negeri dan negara.

"Harapan saya, semoga dengan ganjaran kemenangan ini dapat dijadikan sebagai batu lonjatan kepada semua atlet negeri Kedah supaya lebih fokus untuk merangkul lebih banyak pingat pada masa hadapan.

"Terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Kedah yang berusaha tanpa lelah dan bertanggungjawab melahirkan lebih ramai atlet dari negeri Kedah untuk ke persada antarabangsa dengan bekerjasama bersama jurulatih dan persatuan-persatuan negeri. Ini bersesuaian dengan moto mereka, "Permuafakatan Membina Kejuaraan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Kepada Atlet Negeri Kedah yang cemerlang di Sukan SEA ke-31 dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-41 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada Majlis tersebut, pelumba basikal negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menerima ganjaran paling tinggi iaitu sebanyak RM7,000 atas kejayaannya muncul atlet wanita pertama dari Malaysia memenangi pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-41 melalui acara ujian masa 500m (35.49 saat) di samping memenangi satu pingat gangsa melalui acara keirin elit.

Manakala rakan sepasukannya, Umar Hasbullah yang berjaya memenangi pingat gangsa melalui acara team sprint menerima imbuhan sebanyak RM2,000.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau melihat kejayaan Nurul Izzah Izzati mirip pencapaian Datuk Muhammad Azizulhasni Awang di dalam sukan tersebut.

"Sesuailah kalau saya gelarkan Nurul Izzah Izzati sebagai “The Poket Rocket Girl”, dan lebih membanggakan lagi, ini kali pertama beliau menyarung jersi negara di pentas Asia dan terus memenangi jersi putih serta melakarkan sejarah negara.

"Kita sedia maklum bahawa Kedah tidak mempunyai velodrom dan latihan pelumba wanita ini lebih tertumpu di jalan raya bertempat di Pusat Latihan Negeri Sukan Berbasikal Taman Tunku Sarina, Jitra. Inilah yg dikatakan, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan," ujarnya.

Sementara itu, sembilan atlet daripada negeri Kedah pula telah membantu kontinjen Malaysia dengan memenangi tiga pingat perak dan enam pingat gangsa di Sukan SEA Ke-31.

Mereka yang meraih pingat perak adalah Muhamad Aznil Bidin dari acara sukan Angkat Berat, Muhammad Syazirol Shamsudin (Tenpin boling) dan Kok Jing Hong (Badminton) masing-masing menerima RM2,000 seorang.

Bagi pemenang pingat gangsa pula adalah Muhd Robial Sobri dari acara Pencak silat, Nur Lyana Soberi (Futsal), Madhuri Poovanesan (Karate), Cheng Su Hui (Badminton), Lai Chia Chien (e-sport) dan Mohd Amizul Hafiz Mohd Fadzil (e- sport) masing-masing membawa pulang RM1,000 seorang.