Misi wajib menang KL City

Bojan ketika sidang media pra perlawanan Piala AFC Kumpulan H menentang Tampines Rovers di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu.
Bojan ketika sidang media pra perlawanan Piala AFC Kumpulan H menentang Tampines Rovers di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

PELUANG Kuala Lumpur CIty (KL) FC untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati kejohanan Piala AFC dilihat cerah sekiranya berjaya menang besar ke atas Tampines Rovers dalam aksi terakhir kumpulan H di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Khamis.

Pengendali KL CIty FC, Bojan Hodak berkata, meskipun kemenangan besar keatas The Stags itu akan membantu pasukannya menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas, namun beliau enggan memikirkan berkenaan perkara tersebut.

Sebaliknya, beliau hanya menyasarkan anak buahnya untuk menang tanpa mengira sebarang skor pada perlawanan itu sambil berharap pasukannya mampu untuk berada dalam kelompok pasukan tempat kedua terbaik kejohanan tersebut.

“Yang penting saya mahu menang esok tidak kira apa skor sekalipun. Sekiranya kami menang pada perlawanan ini saya jangkakan kami ada peluang untuk pergi ke peringkat seterusnya sebagai pasukan di tempat kedua terbaik.

“Bagaimanapun sekiranya pasukan mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol, ia sudah tentu bagus kerana setiap pasukan mahu menjuarai kumpulan, apa-apapun sasaran utama kami adalah untuk menang dalam perlawanan tersebut,” katanya pada sidang media pra perlawanan menentang Tampines pada Rabu.

Untuk rekod, The Hawks kini menghuni tangga kedua kumpulan H dengan mengutip satu mata di belakang PSM Makassar selepas sebelum ini seri tanpa jaringan menentang wakil kelab Indonesia itu pada Jumaat.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan pemain-pemain yang akan diturunkan pada perlawanan itu, Bojan memberitahu masih belum ada bayangan memandangkan perlu melihat keadaan beberapa pemain terlebih dahulu pada sesi latihan terakhir hari ini (Rabu).

“Untuk perlawanan menentang Tampines, Safee (Sali) dan Nik Umar tidak dapat diturunkan susulan mengalami kecederaan. Bagi Parthiban situasinya masih 50-50 dan perlu dilihat pada sesi latihan terakhir.

“Manakala untuk Declan Lambert, dia juga masih dalam pemerhatian selepas mengalami sedikit kecederaan ketika menetang Makassar tempoh hari. Selain pemain yang disebut mereka cergas untuk diturunkan,” ujarnya.

Sementara itu, penyerang import KL City, Romel Morales melaungkan keyakinan bahawa dia dan rakan sepasukan mampu untuk menang dengan margin gol yang besar pada aksi terakhir kumpulan H itu.

Menurut Morales, meskipun mengakui sedikit tertekan untuk mendapatkan jaringan yang banyak, namun dia berasakan ia bukanlah satu perkara yang mustahil memandangkan pernah berada dalam situasi yang sama ketika Piala Malaysia edisi lalu.

“Saya harus mengakui ia merupakan tekanan buat kami untuk mendapatkan jaringan namun ia bukanlah satu yang mustahil. Malah kami sebenarnya suka apabila berada dalam tekanan.

“Jika anda lihat pada Piala Malaysia tahun lalu, apabila kami berada dalam tekanan kami mamu untuk menghasilkan keputusan yang positif,” katanya.