Masa depan Australia-ASEAN saling berkait

Saifuddin (kanan) bersalaman dengan Penny Wong selepas mengadakan sidang media di Wisma Putra pada Selasa. - Foto Bernama
Saifuddin (kanan) bersalaman dengan Penny Wong selepas mengadakan sidang media di Wisma Putra pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Asia Tenggara akan kekal menjadi wilayah penting bagi Australia kata Menteri Luar Australia, Penny Wong, yang turut menekankan komitmen kerajaan baharu negaranya terhadap ASEAN Centrality atau Pemusatan ASEAN.

Penny Wong yang kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia berkata pada Selasa, bahawa masa depan Australia saling berkait rapat dengan masa depan ASEAN dan Asia Tenggara.

"Kita berkongsi masa depan yang sama kerana berada di rantau yang sama, dan itulah cara kita membina hubungan dan berdepan cabaran yang hadapi," katanya.

"Kerajaan Australia kekal komited kepada Pemusatan ASEAN dan kami melihat ASEAN sebagai rantau yang stabil, aman dan makmur di mana kedaulatan dihormati,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah selepas mesyuarat dua hala di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Australia juga bertuah dan berbesar hati menjadi Rakan Strategik Komprehensif ASEAN.

Beliau menambah, ketika lawatannya ke Jakarta bersama Perdana Menteri, Anthony Albanese awal bulan ini, beliau berpeluang bertemu dengan setiausaha agung ASEAN dan wakil tetap yang lain untuk berbincang mengenai perkongsian yang lebih utuh.

Australia dan ASEAN mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif pada Oktober 2021.

Mengenai pakatan kerjasama keselamatan baharu tiga negara, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang lebih dikenali dengan singkatan AUKUS, Menteri Luar itu berkata, menerusi perjanjian itu kerajaan Australia berhasrat menggantikan kapal selam berkuasa diesel sedia ada kepada kapal selam berkuasa nuklear.

"Kami bercakap mengenai kapal selam yang menggunakan tenaga nuklear untuk kuasa tujahan dan bukan senjata nuklear," katanya bagi membetulkan tanggapan salah berhubung kapal selam dan pakatan itu.

Mengulas lanjut, Penny Wong berkata, kerajaan baharunya juga meluangkan masa untuk mendengar dan menjelaskan kepada pelbagai pihak berhubung kebimbangan mengenai perkara itu.

AUKUS, yang diumumkan pada September tahun lalu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara serantau kerana dikhuatiri boleh meningkatkan lagi ketegangan di rantau itu.

Sementara itu, Penny Wong yang dilahirkan di Malaysia sebelum berpindah ke Australia sejak muda menyifatkan lawatannya ke sini sebagai hari istimewa.

Sebagai sebahagian daripada rangka lawatannya, Penny Wong juga dijadual bertemu dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum berlepas ke Kota Kinabalu pada Rabu di mana beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negeri.

Sebelum tiba di Malaysia, beliau mengadakan kunjungan ke Vietnam.

Selepas pelantikannya sebagai menteri luar pada awal bulan ini, beliau ke Indonesia bersama Perdana Menteri, Australia Anthony Albanese. - Bernama