Dua kapal korek berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Antara kapal korek yang ditahan setelah didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pantai Acheh, di Kuala Selangor pada Isnin.
Antara kapal korek yang ditahan setelah didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pantai Acheh, di Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dua kapal korek dipercayai berlabuh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Pantai Acheh, Kuala Selangor di sini pada Isnin.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten V Siva Kumar berkata, kedua kapal korek berkenaan dikesan berlabuh tanpa kebenaran kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, operasi dijalankan pihaknya turut disertai Jabatan Laut Pelabuhan Klang.

"Kedua kapal dikesan berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika timur pantai Acheh.

"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati kapal korek itu dikendalikan dua warga tempatan dan empat warga Indonesia manakala sebuah kapal korek lagi terdiri daripada 13 warga tempatan, empat warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan seorang warga Filipina yang kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kedua kapal korek berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua kapal korek tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491 B (1) (I).

Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Kapal, nakhoda dan kesemua kru kedua kapal korek itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.