Sorok dadah dekat dapur

Ketulan mampat ganja yang dirampas di sebuah rumah di Kuala Pilah pada Ahad.
Ketulan mampat ganja yang dirampas di sebuah rumah di Kuala Pilah pada Ahad.
A
A
A

KUALA PILAH - Sepasang suami isteri ditahan susulan penemuan dua ketulan mampat disyaki ganja di sebuah rumah di daerah ini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Amran Mohd Ghani berkata, kedua-dua suspek berusia 64 dan 59 tahun itu ditahan pada jam 1.15 pagi oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah.

"Pemeriksaan dalam rumah tersebut telah menjumpai dua ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 923.10 gram yang disorok di bahagian dapur.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja sebagai buruh manakala isterinya kerja di kedai makan," katanya kepada media pada Isnin.

Menurutnya, dadah yang dijumpai dipercayai digunakan oleh lelaki terbabit dan turut dijual kepada rakan-rakannya di sekitar daerah Kuala Pilah.

Amran berkata, dadah itu diperoleh dari kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur dan suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan itu sejak sebulan lalu.

"Nilai rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM3,500, turut dirampas dua buah motosikal, barang kemas dan wang tunai RM490.

"Pemeriksaan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap lelaki terbabit mendapati dia positif dadah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.