Uzbekistan tawar hab untuk Malaysia salur bantuan ke Afghanistan

Ravshan Usmanov. - Foto Bernama
Ravshan Usmanov. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi bantuan Malaysia ditawarkan untuk menggunakan kemudahan di Hab Antarabangsa Uzbekistan bagi menyampaikan Bantuan Kemanusiaan kepada Afghanistan.

Duta Uzbekistan ke Malaysia Ravshan Usmanov menjelaskan bahawa hab antarabangsa itu mempunyai semua infrastruktur diperlukan - lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan, kereta api dan lebuh raya serta terminal logistik yang besar "Pusat Kargo Termez" yang dilengkapi teknologi dan peralatan paling moden, terletak dekat dengan sempadan Afghanistan.

Dalam temu bual dengan Bernama, duta itu berkata Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev pada Khamis telah menandatangani satu resolusi, menurutnya terminal logistik Pusat Kargo Termez di wilayah Surkhandarya berhampiran sempadan Afghanistan telah diberi status Hab Pengangkutan dan Logistik Antarabangsa Pelbagai Fungsi bagi Bantuan Kemanusiaan.

"Kami mencadangkan (kepada masyarakat antarabangsa) untuk menyelaraskan usaha kemanusiaan secara bersama melalui Hab Pengangkutan dan Logistik Antarabangsa Pelbagai Fungsi di Termez bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Afghanistan.

"Uzbekistan juga sedia menawarkan makanan dan keperluan (untuk membantu agensi) dengan harga berpatutan.

"Ia akan menjadi cara yang lebih murah dan pantas untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan.

"Kami yakin infrastruktur dan projek kemanusiaan sebegini akan bertindak sebagai pemangkin memulihkan kestabilan di Afghanistan," katanya.

Usmanov berkata, hal itu telah dibincangkan ketika pertemuan antara kedutaan dan Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, selaku penasihat khas Menteri Luar Malaysia mengenai Afghanistan baru-baru ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, organisasi antarabangsa terkemuka lain dan pelbagai negara menyokong usaha Uzbekistan memberi bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan dengan menggunakan peluang yang ada di Termez.

Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) kerap menghantar bekalan kemanusiaan dari Termez ke Afghanistan, katanya.

Menurut WFP, dari November 2021 hingga kini, kira-kira 42,000 tan produk makanan telah dihantar melalui Termez ke Afghanistan.

Beliau berkata pada September dan Disember 2021 Uzbeksitan telah menghantar dua kargo bantuan kemanusiaan dengan jumlah keseluruhan melebihi 5,000 tan melalui Termez.

Pada 30 April 2022, pihaknya telah menghantar kira-kira 4,000 tan kargo bantuan kepada rakyat Afghanistan.

Semua bantuan kemanusiaan ini terdiri makanan, perubatan, pakaian, produk tekstil, gandum dan arang batu.

"Perkara paling penting ialah (hab) ini akan memungkinkan penghantaran barangan keperluan dengan segera kepada rakyat Afghanistan dan secara tidak langsung membantu rakyat Afghanistan mengatasi krisis kemanusiaan dengan lebih berkesan," kata Usmanov. - Bernama