[VIDEO] Bekas isteri SM Faisal hadir prosiding komital

Emilia Hanafi tiba di Mahkamah Syariah di sini pada jam 9.50 pagi untuk menyerah diri bagi menjalani hukuman penjara selama tujuh hari.
Emilia Hanafi tiba di Mahkamah Syariah di sini pada jam 9.50 pagi untuk menyerah diri bagi menjalani hukuman penjara selama tujuh hari.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas isteri seorang ahli perniagaan terkenal, Emilia Hanafi, 43, tiba di Mahkamah Syariah di sini pada jam 9.50 pagi untuk prosiding komital berhubung isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka.

Emilia yang hadir dengan memakai jubah dan selendang putih tiba di mahkamah ini dengan ditemani peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim serta penyokongnya.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhi hukuman tujuh hari ke atas Emilia kerana menghina mahkamah ekoran mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka, namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Jun, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di sini yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

Permohonan dibuat menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi dan menamakan SM Faisal, 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia kerana gagal hadir sebagai saksi pendakwaan, dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.

Hukuman terhadap Emilia menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia yang disiarkan oleh sebuah portal.

Pada 25 April lalu, Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia.