Ketua Pengarah GIACC bersara wajib hari ini

Mohd Sallehhuddin Hassan
Mohd Sallehhuddin Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang kedua, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan bersara wajib hari ini dan upacara sesi 'clock out' telah berlangsung pada 24 Jun lepas di pejabat GIACC, Jabatan Perdana Menteri di sini.

Bahagian Komunikasi dan Media GIACC memaklumkan pertalian Mohd Sallehhuddin dengan GIACC telah wujud sejak sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah GIACC bermula April 2021.

"Beliau adalah antara yang terawal melibatkan diri membangunkan inisiatif utama yang sangat ikonik dengan GIACC iaitu Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Sepanjang pentadbiran GIACC di bawah seliaan beliau, sejumlah 487 Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) telah siap dibangunkan oleh kementerian, kerajaan negeri, jabatan dan agensi sektor awam, manakala sejumlah 46 OACP siap dibangunkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad..

Mohd Sallehhuddin, lahir di Kelantan pada 27 Jun 1962, merupakan bekas penuntut Universiti Malaya, berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang Sastera pada 1988.

Beliau memulakan karier sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) pada 1 Disember 1992 dan telah menabur bakti hampir 30 tahun dalam perkhidmatan awam dengan pengalaman bertugas di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

Beliau pernah beberapa kali dilantik sebagai pegawai kanan kepada anggota pentadbiran antaranya pada 2002 sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi manakala pada 2009 beliau merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelajaran.

Kualiti kepimpinan tinggi yang ditunjukkan oleh Mohd Sallehhuddin telah melayakkan beliau dilantik mengetuai beberapa bahagian dan jabatan sehingga tahap Ketua Setiausaha. - Bernama