Johor belum ada keputusan laras cuti hujung minggu

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara melulu kerana perkara terbabit masih lagi dalam peringkat kajian melibatkan pelbagai pemegang taruh selain perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Penyelarasan cuti hujung minggu hebat dibicarakan malah menjadi buah mulut Bangsa Johor kerana ramai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta hanya dapat meluangkan masa selama satu hari sahaja dengan anak-anak mereka.

"Hal ini disebabkan perbezaan hari cuti hujung minggu sejak 2014. Penyelarasan perlu dibuat agar ibu bapa boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini, pada Ahad.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, setiap pandangan berhubung pelarasan cuti minggu di Johor diterima dengan baik.

"Pelbagai cadangan telah diberikan, ada yang mahu ia kekal hari Jumaat dan Sabtu supaya mudah pergi solat. Ada yang mahu ia diubah ke Sabtu dan Ahad supaya selari dengan kerajaan Persekutuan.

"Ada yang mahu masa rehat hari Jumaat yang lebih panjang, ada juga yang mahu cuti dua hari setengah malah ada yang mahu cuti tiga hari seminggu," katanya.

Pada 14 Jun lalu, Onn Hafiz ketika menyampaikan amanat khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) menyatakan kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu.

Beliau berkata, kajian itu akan dibuat ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Keputusan itu dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan kaum lelaki yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.

Johor sebelum ini juga pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994.

Malah negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu di negeri tersebut.