Politik tak stabil punca Johor dianaktirikan: MB

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ketidakstabilan politik negara sejak empat tahun lalu dikatakan menjadi punca negeri ini dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan.

Perkara itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika sesi penggulungan sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini pada Ahad.

Menurut Onn Hafiz, perkara itu dapat dilihat pada hari ini apabila hanya 79 projek baharu yang dibawa masuk dengan peruntukan tidak sampai RM100 juta.

"Peruntukan yang diterima oleh negeri Johor bagi 'rolling plan' kedua tahun ini adalah berjumlah RM4.6 billion melibatkan 434 projek.

"Walaupun peruntukan meningkat, namun kebanyakannya adalah bagi projek-projek sambungan, manakala bagi projek baharu hanya melibatkan 79 projek sahaja iaitu dengan peruntukan hanya RM85.5 juta atau hanya dua peratus daripada jumlah peruntukan bagi 2022," katanya.

Pada 16 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika bertitah merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 menyifatkan negeri ini dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan meskipun merupakan penyumbang besar ekonomi negara.

Baginda bertitah, Johor pernah menyumbang hasil lebih RM13 bilion setiap tahun dan pernah menjadi penyumbang pelaburan terbesar negara sejak tahun 2013 hingga 2018.

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, negeri dan negara menjadi tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kerajaan pusat ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jawapan untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan federalisme itu bukanlah melalui 'all state committee' tetapi dengan kestabilan yang hanya akan wujud jika ada kerajaan yang stabil.

"Oleh itu, saya merayu kepada seluruh Bangsa Johor untuk tidak mengambil risiko lagi. Pada PRU yang akan datang, kembalikanlah kestabilan negara dengan memilih kerajaan yang boleh membawa kestabilan.

"Janganlah kita membenarkan diri untuk jatuh dalam perangkap dan lubang gelap yang sama, lantas dipatuk pula oleh ular yang sama buat kali kedua," katanya.