Wanita maut kereta dirempuh pacuan empat roda

Pasukan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.- Foto Bomba NS
Pasukan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.- Foto Bomba NS
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kemalangan kira-kira jam 11.05 malam itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang wanita berusia 22 tahun dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Viva yang dipandu mangsa seorang diri dari arah Seremban menuju ke Kuala Pilah.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, datang kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berumur 34 tahun seorang diri dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Nanda berkata, akibat kemalangan, kedua-dua pemandu berkenaan telah tersepit dan dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

"Bagaimanapun, pemandu Perodua Viva yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu pacuan empat roda pula mengalami kecederaan parah di bahagian kaki.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi tujuan bedah siasat.

"Pemandu pacuan empat roda pula dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk menerima rawatan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.