Video kejadian tembakan bukan di Klang

Kejadian berbalas tembakan di sebuah premis disahkan berlaku di negara Amerika Latin, bukan di Klang, Selangor seperti dakwaan yang tular di media sosial.
Kejadian berbalas tembakan di sebuah premis disahkan berlaku di negara Amerika Latin, bukan di Klang, Selangor seperti dakwaan yang tular di media sosial.
A
A
A
KLANG - Polis menafikan rakaman video kejadian berbalas tembakan antara penjenayah dan pengawal keselamatan berlaku di daerah ini, sebaliknya berlaku di negara Amerika Latin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, video itu memaparkan kejadian tembakan yang kononnya berlaku di sebuah premis di Bukit Tinggi, Klang hingga tular di media sosial sebelum dikesan pihaknya pada Jumaat.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menafikan kes itu berlaku di kawasan yang didakwa tersebut.

"Hasil semakan mendapati kejadian sebenarnya berlaku di salah sebuah negara Amerika Latin," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tegas beliau, orang ramai diingatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Sejak Jumaat, video berdurasi lebih satu minit itu memaparkan beberapa orang awam sedang berurusan di dalam sebuah premis yang turut dikawal seorang pengawal keselamatan.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki telah bertindak mengacukan pistol dan cuba menembak pengawal tersebut.

Suspek bagaimanapun cedera selepas tembakan oleh pengawal terbabit mengenai bahagian lehernya sebelum terus meluru keluar dari premis.

Difahamkan, berdasarkan rakaman video itu, kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 pagi, 20 Jun lalu.