Cabaran di Turf Moor bukan biasa-biasa

 Vincent Kompany
Vincent Kompany
A
A
A

PENGENDALI baharu Burnley, Vincent Kompany mengakui menyahut cabaran besar apabila menerima tugasan mengendalikan The Clarets yang beraksi dalam Liga Kejuaraan musim ini.

Namun selepas membimbing kelab Divisyen Pertama A, Belgium, Anderlecht ke tempat ketiga berturut-turut dalam keadaan sukar, pemain berusia 36 tahun itu tidak goyah dalam merealisasikan misi di Turf Moor.

Sebaliknya bekas Kapten Manchester City itu, bertekad mengembalikan semula era kegemilangan kelab Lancashire tersebut dengan kembali ke saingan Liga Utama Inggeris.

“Sejujurnya ini merupakan satu tempoh cabaran yang sangat singkat dan berliku apabila kelab mengalami perubahan dari Liga Perdana ke Liga Kejuaraan.

“Dua pilihan, sama ada boleh membawa kelab terperosok lebih jauh ke liga bawahan atau bangkit lebih bertenaga memberi segala-galanya untuk kembali ke liga utama

“Persoalan sekarang adalah sama ada kelab memilih mengambil selekoh ke kiri atau kanan walaupun memilih jalan ke hadapan yang berliku,” katanya.

Dalam pada itu, Kompany berharap dapat merekrut bekas rakan sepasukan di Manchester City, Craig Bellamy menganggotai barisan kejurulatihannya.

Bekas penyerang Liverpool, Newcastle dan Wales itu pernah beraksi bersama-sama Bellamy di Stadium Etihad dari 2009 hingga 2011, selain juga pernah bekerja bersamanya di Belgium.

Kompany, bekas pemain pertahanan Manchester City dan Belgium itu sebelum ini dinamakan sebagai pengganti tetap Burnley selepas pemecatan Sean Dyche.

Di Lancashire, Kompany bakal berdepan tugas mencabar dengan kekangan perbelanjaan dan kehilangan beberapa pemain penting selepas The Clarets disingkirkan dari Liga Perdana Inggeris pada penghujung musim lalu.