Kereta terjunam sungai, dua mangsa selamat

Sebuah kereta dilaporkan terjunam dalam anak sungai dipercayai terbabas ketika melalui Jalan Pahang, Tapah. Foto: Ihsan pembaca
Sebuah kereta dilaporkan terjunam dalam anak sungai dipercayai terbabas ketika melalui Jalan Pahang, Tapah. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

TAPAH - Anggota bomba melakukan pencarian lebih 30 minit bagi mengesan mangsa selepas sebuah kereta jenis Perodua Axia ditemui dalam anak sungai di Batu 13, Jalan Pahang di sini pada Jumaat.

Operasi yang bermula jam 8.50 pagi itu bagaimanapun terpaksa dihentikan apabila bomba dimaklumkan pemandu, lelaki berusia 52 tahun dan penumpang, seorang wanita berusia 40-an telah dihantar ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Nadzri Che Nordin berkata, sepasukan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kereta terbabas dan terjunam pada ketinggian dua meter.

"Setibanya di tempat kejadian, anggota tidak menemui mangsa namun, operasi mencari dijalankan kerana bimbang akan keselamatan mangsa yang mungkin dihanyutkan arus.

"Pada masa sama, kita cuba mengesan pemilik kenderaan menerusi nombor pendaftaran kenderaan dan seterusnya berjaya menghubungi keluarga yang memaklumkan kedua-dua mangsa terselamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 11.40 malam pada Khamis dan kedua-dua mangsa difahamkan telah mendapatkan rawatan pesakit luar.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi.