Tak pernah menolak potong gaji: Nancy

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - "Kita tidak pernah menolak jika ia keputusan kerajaan," itu reaksi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berhubung cadangan pemotongan 20 peratus gaji menteri.

Katanya, bagaimanapun sebaiknya ia perlu mendapatkan pandangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Tanya Menteri Kewangan sebab dia tahu keadaan sebenarnya seperti kewangan, mudah untuk dia bercakap daripada saya," katanya.

Menurutnya, sekiranya pemotongan gaji menteri dibuat, beliau akan menuruti tanpa bantahan.

"(Gaji) dari dulu dipotong, kita ikut sahaja, tiada masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Minggu Pelancongan Islam, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz agar gaji barisan menteri kabinet dipotong sebanyak 20 peratus bagi menunjukkan sifat empati terhadap rakyat yang bergelut dengan cabaran krisis ekonomi ‘bertindih’ yang semakin parah.

Ketika kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, jemaah menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan bermula Jun 2021 untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.