Hasil durian 'menjadi' punca harga berpatutan

Ahmad (tiga dari kiri) ketika melancarkan Penang Fama Fest 2022 di Seberang Jaya, pada Khamis.
Ahmad (tiga dari kiri) ketika melancarkan Penang Fama Fest 2022 di Seberang Jaya, pada Khamis.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pengeluaran hasil durian di luar jangka pada musim kali ini membolehkan raja buah itu dijual dengan harga yang berpatutan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pada mulanya pihaknya menjangkakan pengeluaran durian kali ini berkurangan antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.

Jelasnya, bagaimanapun pengeluaran hasil durian di beberapa kawasan seperti Pulau Pinang dan Perak di luar jangkaan hingga membolehkan orang ramai menikmati pelbagai varieti durian termasuk dalam kategori premium.

"Kita jangkakan harga durian akan melambung namun ia tidak berlaku malah disebabkan hasil pengeluaran yang meningkat menyebabkan harga raja buah itu termasuk kategori premium dijual dengan harga yang berpatutan pada musim kali ini.

"Apa yang boleh dikatakan hasil durian kali ini begitu menjadi kerana dalam lawatan saya mendapati buah musang king dijual tidaklah mahal sangat kerana pengeluarannya meningkat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program FAMA Fest Pulau Pinang di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Exco Agro Teknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin.

Ahmad berkata, program FAMA Fest yang dianjurkan bertujuan membantu menambah luang pasaran kepada para usahawan dalam memasarkan produk agromakanan mereka.

Jelasnya, pembukaan luang pasaran ini kepada usahawan dan pengunjung menunjukkan usaha berterusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui FAMA dalam menunjukkan tahap sekuriti makanan negara terjamin.

Beliau berkata, FAMA Fest yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu menawarkan pelbagai pilihan produk agromakanan yang boleh didapati menerusi Jualan My Rakyat dan Jualan Terus Dari Ladang dengan penawaran penjimatan 10 peratus dari pasar-pasar awam berdekatan.

Bagi program kali ini, beliau berkata, pihaknya menyasarkan pengunjung seramai 50,000 orang dan mencapai nilai jualan RM500,000.