X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Pembantu tadbir gred 19 hingga 28 minta kaji semula gaji pokok

Amir Hamzah ketika bertemu ahli AUEGCAS selepas Taklimat Kesatuan dan Mesyuarat Agung Tri Tahunan AUEGCAS Pulau Pinang di Komtar pada Khamis.
A
A

GEORGETOWN - Kira-kira 300,000 pembantu tadbir gred 19 hingga gred 28 di seluruh negara meminta kerajaan mengkaji semula gaji pokok yang ditetapkan berikutan peningkatan kos sara hidup yang sangat ketara.

Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS), Amir Hamzah Yakat Ali berkata, gaji pokok pada ketika ini dilihat tidak relevan dengan harga barangan yang semakin meningkat.

Menurutnya, pendapatan semasa golongan tersebut yang bermula dengan RM1,352 dilihat tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita senada dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mengharapkan kerajaan dapat menaikkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan.

"Gaji pokok untuk gred 19 pada waktu ini adalah RM1,350 manakala gred 28 adalah RM2,706. Untuk gred 19 yang menerima gaji pokok di bawah RM1,500, kita memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk dinaikkan kepada RM1,800.

"Bagi mereka yang lebih dari RM1,500 pula, kita minta mereka ini akan diberi kenaikan gaji tahunan (KGT) dua hingga tiga kali setahun," katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat Kesatuan dan Mesyuarat Agung Tri Tahunan AUEGCAS Pulau Pinang di Komtar pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lalu mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sehubungan itu, Cuepacs mencadangkan agar ia dinaikkan kepada RM1,800 kerana gaji minimum RM1,500 dilihat tidak adil untuk penjawat awam dengan harga barang yang semakin hari semakin mencengkam.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pembantu tadbir gred berkenaan yang menjadi kumpulan sokongan bagi bahagian pentadbiran dan kewangan juga merasa terpinggir serta tertekan apabila gred maksimum bagi skim perkhidmatan pembantu tadbir kekal sejak lebih 50 tahun lalu.

"Kami merupakan tulang belakang sistem kerajaan namun gred maksimum bagi skim kami tidak berubah sejak zaman merdeka lagi.

"Sebagai contoh, gred kami daripada 19 hanya boleh naik setakat gred 28 sahaja, kami tidak boleh dapat kenaikan gred yang tinggi kerana ada perjawatan gred lain selepas kami.

"Kami mohon agar kerajaan lakukan sesuatu untuk beri ruang kepada pembantu tadbir gred 19 hingga 28 ini dalam memperoleh kenaikan gred yang selaras dengan perkhidmatan dan pengalaman," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!