Tidak bayar parkir, pengurus kilang didakwa di mahkamah

Tindakan seorang pengurus kilang tidak membayar parkir mengundang padah apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk pada Rabu.
Tindakan seorang pengurus kilang tidak membayar parkir mengundang padah apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tindakan seorang pengurus kilang tidak membayar parkir mengundang padah apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, pada Rabu.

Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), individu yang berusia 20-an itu dijatuhi hukuman denda RM150 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima hari jika gagal membayar denda berkenaan.

"Individu terbabit didapati melakukan kesalahan Perintah Pengangkutan Jalan Perenggan 8, MDKL Tahun 2007. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim.

"Tertuduh membayar denda tersebut manakala tiga lagi individu telah dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes sama," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim mengingatkan individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan kompaun parkir, perlu menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin.

"Sempena ulang tahun pertama pengisytiharan MPKL, kami memberi tawaran diskaun bayaran kompaun parkir sehingga 9 September 2022 depan.

"Tawaran itu melibatkan kompaun sebelum tahun 2019 iaitu sebanyak RM15 bagi setiap kompaun manakala bagi tahun 2020 hingga 2022 adalah sebanyak RM10," katanya.

Beliau berkata, bayaran juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi Aplikasi Smart Selangor Parking.