JKNS kesan kluster ILI di SBP daerah Gombak

Dr Sha'ari & Kenyataan JKNS pada Isnin.
Dr Sha'ari & Kenyataan JKNS pada Isnin.
A
A
A

GOMBAK - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan satu kejadian kluster Influenza-Like-lllness (ILI) melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah ini.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, kluster tersebut dikesan pada Ahad lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak menerima notifikasi kes pertama dari fasiliti kesihatan swasta mengenai kejadian seorang pelajar yang didapati positif Influenza A.

Menurutnya, kes tersebut mula mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan pada 17 Jun lalu.

"Siasatan mendapati sejumlah 226 pelajar mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak dengan enam orang pelajar disahkan positif jangkitan Influenza A pada kadar serangan jangkitan 32.7 peratus.

"Sehingga kini, hanya seorang pelajar positif Influenza A dimasukkan ke pusat perubatan swasta untuk pemerhatian dan berada dalam keadaan stabil manakala yang lain-lain dirawat sebagai pesakit luar.

"Bagaimanapun, ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas sejumlah 69 pelajar bergejala mendapati kesemuanya negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Sha'ari menasihatkan orang ramai termasuk pentadbir institusi-institusi pendidikan dan pusat-pusat jagaan untuk sentiasa mengamalkan langkah kawalan kendiri.

Ujarnya, antara langkah yang disarankan seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di kawasan-kawasan sesak, menjaga kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dan membersihkan rumah serta kawasan persekitaran terutama permukaan yang kerap disentuh.

"JKNS akan terus memantau situasi dan tren kejadian ILI di Selangor serta bekerjasama dengan pihak yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya," katanya.