Zuraida kekal menteri?

Zuraida
Zuraida
A
A
A

PUTRAJAYA - Kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dipercayai kekal dalam kabinet sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Difahamkan, pertemuan Zuraida dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlangsung sebelum mesyuarat kabinet di sini pagi ini.

Berdasarkan jadual kerja yang diedarkan kepada media, Zuraida akan berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah selepas mesyuarat kabinet untuk menghadiri Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia (AIKM) 2022 anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada jam 7.45 malam ini.

Zuraida terdahulu tiba di bangunan Perdana Putra pada jam 9.25 pagi bagi menyertai mesyuarat kabinet.

Khamis lalu, Ismail Sabri memaklumkan kepada pemberita akan bertemu Zuraida sebelum mesyuarat kabinet pada Rabu bagi membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuntut kedudukan Zuraida diberikan kepada parti itu kerana ia adalah kouta parti tersebut.

Muhyiddin berkata, jawatan menteri sememangnya menjadi sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Ismail Sabri dengan pimpinan PN.

Ismail Sabri ketika berada di Tokyo, Jepun baru-baru ini dilaporkan berkata, Zuraida masih menteri kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida menerusi kenyataannya mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain turut meletakkan jawatannya sebagai menteri.

Sebelum menyertai Bersatu, Zuraida memegang jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dipecat akibat tindakannya bersama dengan beberapa Ahli Parlimen parti itu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam ‘Langkah Sheraton.