Tiga anggota polis cedera dalam insiden letupan bom di Pattani

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PATTANI - Tiga anggota polis cedera dalam insiden letupan bom di Pattani, selatan Thailand.

Ketua Polis Daerah Pattani, Jeneral Pol Narin Busaman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam (waktu tempatan) pada Isnin, sebutir bom buatan sendiri seberat lebih 50 kilogram yang dipasang pada sebuah trak sampah diletupkan.

Menurutnya, trak sampah itu dilarikan dari pejabat Majlis Pentadbiran Mukim Langgar di Daerah Mayo, Pattani kira-kira sejam sebelum kejadian.

Beliau berkata, bangunan yang terletak berdekatan tempat kejadian letupan termasuk kuarters polis dan pos kawalan mengalami kerosakan.

"Tiga anggota polis yang berada di kuarters dan pos kawalan keselamatan mengalami cedera ringan.

"Trak sampah berkenaan musnah dalam kejadian itu," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Narin berkata, empat pekerja diikat tangan oleh beberapa individu bersenjata sebelum melarikan trak sampah itu.

Katanya, setakat ini belum ada mana-mana kumpulan mengakui terlibat dengan insiden itu. - Bernama