Tujuh motosikal terbakar ada unsur khianat: Polis

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A
GOMBAK - Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran membabitkan tujuh buah motosikal yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan Flat Taman Samudera di sini pada Selasa ada unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pemilik motosikal yang terlibat digesa untuk tampil membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut.

"Motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zainal Mohamed berkata, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor turut membantu siasatan di tempat kejadian.

"Siasatan mendapati kejadian dipercayai bermula pada jam 5 pagi di mana sebanyak tujuh buah motosikal telah musnah terbakar dan mengalami kerosakan yang teruk.

"Orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Hamizan Mohamad Yunus di talian 03-61262222 atau 013 – 8348384," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan sebanyak tujuh motosikal yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di flat itu musnah dalam kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.25 pagi.

Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba Selayang bergegas ke lokasi kejadian.

Namun, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi.