Maut dalam perjalanan ke sekolah

Keadaan motosikal ditunggangi mangsa selepas bertembung dengan sebuah MPV.
Keadaan motosikal ditunggangi mangsa selepas bertembung dengan sebuah MPV.
A
A
A
PETALING JAYA - Perjalanan seorang remaja 16 tahun ke sekolah bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Persiaran Mahogani - Jalan Rimba Riang 9/1, Kota Damansara di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya menerima laporan kejadian itu jam pada 7.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku jam 7.25 pagi ketika mangsa berusia 16 tahun berkenaan yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan ke sekolahnya dari Jalan Kuala Selangor-Kepong menghala ke Kota Damansara.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dari arah hadapan ketika MPV itu mahu masuk simpang kanan Jalan Rimba Riang 9/1," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, remaja berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan saksi kejadian diminta tampil ke balai berhampiran untuk membantu siasatan.

"Saksi kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiram atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,"ujarnya.