Tun M tak boleh buat andaian: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya tidak membuat andaian berhubung wang sumbangan RM1.3 juta yang didakwa diberikan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, wang tersebut yang didakwa sumbangan oleh syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018 adalah satu tuduhan.

"Beliau, Tun Mahathir tak boleh andaikan sebab kenyataan beliau itu seperti andaian saya terima dan tidak serah duit itu kepada parti.

"Ia tiada kaitan langsung kerana ini (dakwaan terima RM1.3 juta) adalah satu tuduhan," katanya pada sidang akhbar selepas program #RuangBelia di Sime Darby Convention Center (SDCC) pada Selasa.

Pada Isnin, Dr Mahathir menafikan parti Bersatu itu pernah menerima wang berjumlah RM 1.3 juta, yang kononnya dihadiahkan kepada Muhyiddin oleh UKSB pada 2018.

Dr Mahathir berkata, berdasarkan undang-undang kecil Bersatu, jika pemimpin parti menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, ia hendaklah diserahkan kepada bahagian kewangan parti.

Mengulas lanjut, Muhyiddin sekali lagi mengulangi pendirian sedia disiasat oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya dah buat kenyataan yang agak jelas. Dah ada orang buat laporan polis dan biar polis siasat.

"Kalau SPRM nak panggil pun boleh panggil. saya tidak takut kerana saya cakap yang benar," katanya.