Sinar Harian jadi platform pacu perubahan masa depan Malaysia

Rozaid (tiga dari kanan) menerima Deklarasi Melaka daripada Nur-ul Afida sambil diiringi Akmal Eirfan (dua dari kanan) dan Firdaus (kanan).
Rozaid (tiga dari kanan) menerima Deklarasi Melaka daripada Nur-ul Afida sambil diiringi Akmal Eirfan (dua dari kanan) dan Firdaus (kanan).
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sinar Harian akan terus diperkembangkan untuk menjadi platform media yang memacu perubahan masa depan Malaysia ke arah lebih baik.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi berkata, beliau yakin Sinar Harian mampu untuk terus dimajukan melalui pelbagai medium dan tidak terhad hanya kepada penerbitan akhbar melalui pelbagai program dirangka.

Katanya, sejak 16 tahun kewujudannya, Sinar Harian kini dilihat telah berjaya mengukuhkan tapak dalam dunia penerbitan akhbar di Malaysia.

“Sinar Harian telah menjadi satu nama. Bermakna Sinar Harian berjaya meneruskan motonya yang 'telus, tulus dan neutral' dalam memberi idea, bahan pembacaan dan penulisan kepada minda pembaca di Malaysia,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan cek kemenangan Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang diadakan di Kompleks Karangkraf di sini, pada Selasa.

Pada majlis tersebut, Akmal Eirfan mewakili Karangkraf menerima cek kemenangan bernilai RM10,000 yang disampaikan oleh wakil Jawatankuasa Induk Hawana 2022, Nur-ul Afida Kamaludin.

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Pada 29 Mei lalu, Karangkraf diumumkan sebagai penerima Anugerah Hawana 2022 pada majlis kemuncak sambutan Hawana yang diadakan di Melaka dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pemilihan pemenang anugerah itu diberikan kepada syarikat media yang menunjukkan hasil kerja cemerlang, kupasan isu mendalam, berkualiti serta berimpak pada tahun dinilai.

Turut diambil kira dalam pemilihan tersebut ialah amalan tatakelola serta nilai kewartawanan baik, dan sumbangan yang diberikan kepada pembangunan industri kewartawanan dan media di negara ini dengan hasil karya terlibat harus menyumbang kepada pembangunan insan, keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Deklarasi Melaka 2022 kepada Rozaid sebagai wakil Sinar Harian.

Antara intipati deklarasi tersebut ialah memelihara dan mengiktiraf wartawan sebagai institusi negara, menghormati hak wartawan menjalankan tugas, menjunjung perlembagaan dan prinsip rukun negara, menjadikan kewartawanan sebagai alat memartabat integriti dan memerangi berita palsu.