Dua rakan didakwa tipu urus niaga sarung tangan getah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah membabitkan kerugian lebih RM1 juta, tahun lepas.

Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor, 30, dan Mohd Fami Sharin, 48, didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob, 35, bahawa mereka akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,001,650 ke akaun bank atas nama Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd milik tertuduh pertama.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail di sini pada 17 Mac 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM70,000 kepada setiap tertuduh namun peguam David Dev Peter, yang mewakili mereka, memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM8,000 atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga masing-masing dan tidak memiliki rekod jenayah.

Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Bernama