Lelaki ditahan miliki pelbagai jenis dadah

Pelbagai jenis dadah yang dirampas.
Pelbagai jenis dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM121,862.50 di Segambut di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Segambut di sini pada jam 3 petang.

"Hasil pemeriksaan, kita telah menjumpai 300 biji pil disyaki dadah pil erimin 5 di dalam poket seluar suspek," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Eng Lai berkata, hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah rumah di Segambut pada hari sama.

"Kita telah merampas satu beg plastik yang mengandungi 1,500 biji pil erimin 5, tiga peket plastik disyaki ketamin, 15 peket plastik kecil disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 20 biji pil estacy," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.