153,712 rumah mampu milik tidak dapat dibina di Johor

MOHD JAFNI
MOHD JAFNI
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Sebanyak 153,712 unit perumahan rakyat atau rumah mampu milik masih tidak dapat dibina pemaju hartanah di negeri ini sejak 25 tahun lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kegagalan pembinaan itu perlu diatasi segera dengan strategi dan pemantauan yang berkesan.

"Justeru itu, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) yang ditubuhkan bagi menggantikan fungsi Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah manifestasi kepada iltizam serta komitmen kerajaan negeri untuk memperbanyakkan lagi segmen perumahan khususnya bagi kumpulan B40 dan M40.

"Kerajaan negeri telah meminta PKPJ untuk merangka pembentukan Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Semakan (PDRC) yang berperanan untuk menilai, memantau, dan memudahcara permohonan cadangan pembangunan perumahan mampu milik.

"Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh pelbagai jabatan serta agensi yang berkaitan seperti PBT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Johor, PlanMalaysia@Johor dengan agensi berkenaan akan menjadi platform utama kepada inisiatif pembinaan segmen perumahan bagi kumpulan B40 dan M40," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Kota Iskandar, di sini pada Selasa.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, PKPJ juga akan menjadi pangkalan data berpusat bagi memastikan koordinasi yang lebih berkesan bagi pembangunan perumahan mampu milik dan transit.

Katanya, ia membabitkan pembangunan perumahan kategori itu yang dibangunkan agensi kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan juga pemaju hartanah swasta.

"Berdasarkan kepada rangka kerja awal, perjumpaan bersama pemaju hartanah dan KM PBT, kita sasarkan 21,139 unit perumahan mampu milik akan mula dibina secara berperingkat sehingga tahun 2026.

"Malah untuk akhir tahun 2022 dan 2023 nanti, terdapat 5,033 rumah telah siap dibina dan ditawarkan," katanya.