Hadiah misteri menanti pemenang 'Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian'

Antara penyertaan kreatif yang dihantar oleh pembaca Sinar Harian.
Antara penyertaan kreatif yang dihantar oleh pembaca Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Hadiah misteri menanti pembaca bertuah yang menyertai Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian bersempena wajah baharu Sinar Harian bermula 1 Jun lalu hingga 26 Julai ini.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, ia merupakan hadiah iringan istimewa yang akan ditambah kepada semua pemenang peraduan ini.

“Ini bermakna walaupun sudah mendapat hadiah wang tunai, pemenang akan tetap membawa pulang hadiah misteri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nik Justin berkata, peraduan edisi ketiga kali ini menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai dan hadiah bernilai sehingga RM50,000.

“Masih mengekalkan konsep yang sama, peserta perlu menghantar lima keratan kepala akhbar Sinar Harian termasuk Sinar Ahad dan lengkapkan borang berserta slogan kreatif.

"Kepala akhbar mesti dalam tempoh penyertaan dibuka iaitu pada tarikh 1 Jun hingga 25 julai 2022.

"Selain itu, tidak kira kalah atau menang, semua peserta yang menyertai peraduan ini akan mendapat akses percuma Sinar Premium selama sebulan. Jadi tidak ada yang akan pulang dengan tangan kosong,” ujarnya.

Tambah beliau, hadiah yang ditawarkan melalui Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian ini juga termasuk wang tunai bernilai RM15,000 untuk tempat pertama, RM5,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga).

“Selain itu kita tambah lagi hadiah untuk kategori penyertaan kreatif iaitu untuk tempat pertama RM7,000, kedua RM3,000 dan ketiga RM2,000.

"Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan kreatif mengikut kreativiti masing-masing berdasarkan tema 'Wajah Baharu, Perspektif baharu',” katanya.

Nik Justin berkata, seramai 20 pemenang saguhati akan mendapat RM500 seorang.

"Tarikh pengumuman pemenang pada 31 Julai 2022 secara langsung di Facebook (FB) dan semua platform Sinar Harian.

“Pembaca dari Selangor, Johor dan Perak antara paling tinggi setakat ini yang menyertai peraduan ini sejak ia mula dibuka pada 1 Jun lalu,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, sila layari media sosial rasmi Sinar Harian dan dapatkan akhbar Sinar Harian di kedai-kedai berhampiran atau memuat turun aplikasi Sinar Harian untuk informasi terkini dengan hanya satu klik.