Buruh cuba sogok pegawai polis RM650 ditahan SPRM

SPRM
SPRM
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan seorang lelaki cuba memberi rasuah sebanyak RM650 kepada seorang pegawai polis membawa padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada petang Isnin.

Menurut sumber, suspek yang juga pemegang pas IMM13 berusia 38 tahun itu dikatakan melakukan perkara itu pada pagi Isnin di kawasan bulatan Yayasan Sabah di sini.

Suspek yang bekerja sebagai buruh dikatakan cuba memberi sogokan kepada pegawai polis bagi mengelak daripada ditahan kerana melakukan kesalahan memandu tanpa lesen.

Suspek kemudian ditahan di Pejabat SPRM Sabah di sini kira-kira jam 5.30 petang.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

"Suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan tangkapan itu adalah hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SPRM Sabah dalam usaha membanteras gejala rasuah," katanya.