Diugut along, rumah disimbah cat

Yen Hoong (kiri), Gunasekaran (tengah) menunjukkan rumahnya yang disimbah cat.
Yen Hoong (kiri), Gunasekaran (tengah) menunjukkan rumahnya yang disimbah cat.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah keluarga kini hidup dalam ketakutan dan tertekan selepas kediaman mereka di Taman Seremban Jaya di sini disimbah cat merah dipercayai perbuatan along, Sabtu lalu.

Pemandu lori, Lee Yen Hoong, 42, berkata, tindakan along terbabit menyebabkan dia tidak dapat keluar bekerja berikutan bimbang keselamatan keluarga di rumah.

Menurutnya, sejak 10 Jun lalu, geng ceti haram terbabit menghantar pesanan mesej berbaur ugutan di aplikasi WhatsApp mendesaknya menyelesaikan pinjaman wang dibuat anak saudaranya yang dikenali sebagai Jeremy.

"Mereka (along) juga pernah melemparkan beberapa helai kertas putih memaparkan wajah Jeremy di rumah saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya pada Isnin.

Hadir sama di lokasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaran.

Yen Hoong mempersoalkan tindakan along berkenaan yang mengganggu keluarganya sedangkan yang membuat pinjaman adalah Jeremy.

Dia meminta along terbabit tidak mengganggu hidupnya sekeluarga kerana tidak terlibat dalam hal (pinjaman wang) tersebut.

"Saya menjaga bapa berusia 81 tahun yang menghidap penyakit angin ahmar selain tinggal bersama isteri serta dua anak yang masih bersekolah.

Sudah tentu keadaan ini menganggu emosi kami sekeluarga dan hidup seperti diperhatikan sedangkan tidak melakukan kesalahan (pinjaman wang daripada along).

"Saya tidak pernah bersetuju menjadi penjamin mana-mana pinjaman bahkan tidak tahu menahu akan perkara ini," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Senawang.

Sementara itu, Gunasekaran memohon pihak polis mengambil tindakan segera berhubung situasi yang menimpa keluarga berkenaan.

"Mangsa terjerat, sepatutnya along mencari anak saudaranya yang meminjam wang.

"Diharapkan selepas ini, along tidak lagi menganggu mangsa kerana pendapatannya turut terjejas dan tidak dapat keluar bekerja selagi kes tidak diselesaikan," katanya.