Kadar pengangguran di Johor turun kepada 3.2 peratus

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kadar pengangguran di Johor turun kepada 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 3.9 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, seramai 58,600 penganggur dicatatkan pada suku pertama tahun ini berbanding 70,800 penganggur bagi tempoh yang sama yang sama tahun lalu.

Menurutnyaa, kerajaan negeri menerusi Unit Strategik Modal Insan ( SMI) Johor giat mengadakan program latihan dan kerjaya serta melakukan hebahan jawatan kosong sepanjang tahun di platform media.

"Menerusi Program Latihan Kemahiran Johor (Pro Mahir) sebanyak 44 kursus ditawarkan kepada golongan sasar seperti lepasan sekolah, graduan, mereka yang diberhentikan kerja dan pencari kerja.

" Program Gerak Kerjaya Johor pula telah menganjurkan temuduga terbuka dengan menawarkan lebih 883 jawatan kosong pada 25 Mei lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat ) berkaitan kadar pengangguran di negeri ini pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ke-15 pada Isnin.

Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Larkin berkata, Unit SMI menyasarkan sebanyak 1,169 orang akan mendapat manfaat daripada penyertaan kursus kemahiran menerusi Pro Mahir dalam pelbagai bidang dan peluang penempatan pekerjaan.

"Pro Mahir merangkumi empat program utama iaitu Johor upskilling & reskilling, Johor skills oil dan gas, latihan lepasan siswazah dan persijilan tenaga mahir," katanya.