Tawaran hadiah buat pelajar cemerlang SPM 2021

Jia Haur mencari pelajar peroleh semua A dalam SPM bagi diberikan hadiah.
Jia Haur mencari pelajar peroleh semua A dalam SPM bagi diberikan hadiah.
A
A
A

AMPANG - Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 22, Yew Jia Haur mencari pelajar yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 untuk diberikan hadiah.

Jia Haur berkata, tawaran tersebut terbuka kepada pelajar yang bersekolah dan menetap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seraya, SMK Pandan Mewah, SMK Pandan Indah dan SMK Tasik Permai.

Menurutnya, calon SPM tahun 2021 berdepan cabaran besar apabila menempuh peperiksaan ketika negara berdepan cabaran pandemik Covid-19.

"Menduduki peperiksaan di saat negara sedang berdepan dengan pandemik bukanlah sesuatu yang mudah, ditambah pula dengan bencana alam yang pelbagai yang sering menimpa negara kebelakangan ini.

"Saya kagum dengan ketekunan dan kegigihan calon-calon SPM mengharungi ujian kali ini. Kekuatan luar biasa ini dengan mudahnya akan membantu anda membina masa depan yang lebih cemerlang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagi tujuan itu katanya, sebanyak RM8, 000 diperuntukkan bagi pemberian hadiah kepada pelajar-pelajar yang memperoleh semua A dalam SPM termasuk A+ dan A-.

"Imbuhan ini diharap menjadi penggalak buat mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Permohonan dibuka sehingga 15 Julai dan mereka yang layak akan dihubungi oleh pihak kami.

"Pemohon boleh menghantar e-mel salinan keputusan SPM, salinan kad pengenalan dan juga butiran pelajar ke yewjiahaur@mpaj.gov.my," katanya.