Sayap kiri terbakar, pesawat terpaksa mendarat cemas

Sayap kiri sebuah pesawat syarikat SpiceJet terbakar ketika ia dalam penerbangan ke New Delhi pada Ahad. - Foto Twitter
Sayap kiri sebuah pesawat syarikat SpiceJet terbakar ketika ia dalam penerbangan ke New Delhi pada Ahad. - Foto Twitter
A
A
A

PATNA - Sebuah pesawat komersial yang membawa 185 penumpang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di bandar Patna, timur India pada Ahad selepas enjin kiri terbakar semasa dalam penerbangan, kata pegawai.

Bagaimanapun, penumpang dalam penerbangan domestik yang dikendalikan syarikat komersial, SpiceJet telah dipindahkan dengan selamat sebaik sahaja ia mendarat di Lapangan Terbang Patna.

"Penerbangan kembali ke Lapangan Terbang Patna selepas penduduk tempatan (di darat) menyedari berlaku kebakaran di sayap kiri pesawat dan memaklumkan kepada pegawai lapangan terbang," kata Majistret daerah, Chandrashekhar Singh kepada pemberita.

“Semua 185 penumpang selamat diturunkan.

Punca kebakaran adalah gangguan teknikal.

Pasukan kejuruteraan sedang menganalisis," tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Seorang penumpang memberitahu pemberita bahawa terdapat bunyi yang didengarinya selepas pesawat berkenaan berlepas.

"Juruterbang mengumumkan terdapat beberapa masalah dan kami akan kembali ke Patna.... ia agak menakutkan," kata Pacifica.

Seekor burung yang melanggar enjin mungkin telah mencetuskan kebakaran, lapor stesen penyiar tempatan, NDTV yang memetik sumber penerbangan sebagai berkata.

Pesawat itu dalam penerbangan ke New Delhi. - Agensi