Ramsay mahu buktikan kemampuan bersama Liverpool

Ramsay
Ramsay
A
A
A

BINTANG muda baharu Liverpool, Calvin Ramsay bertekad membuktikan keupayaan diri sebenar bersama-sama The Reds setelah menjadi pemain ketiga direkrut kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Malah menurut bekas pemain kelab Liga Scotland, Aberdeen itu, dia percaya mampu memberikan nilai tambah kepada skuad kendalian Jurgen Klopp dalam persiapan menghadapi musim baharu.

"Sejujurnya saya teruja apabila impian menjadi kenyataan dapat menyertai kelab besar seperti Liverpool selepas memulakan karier bersama-sama Aberdeen.

"Saya tidak sabar memulakan cabaran bersama-sama dengan antara kelab terbesar dunia dan saya akan cuba buktikan kemampuan kepada para penyokong The Reds.

"Saya harap dapat menggunakan pentas pramusim bagi menunjukkan kepada semua di kelab ini apa yang saya miliki, kemudian kita akan lihat apa yang berlaku seterusnya...," kata pemain sensasi posisi pertahanan berusia 18 tahun itu.

Liverpool menandatangani pemain Scotland Bawah 21 tahun itu dari Aberdeen dengan harga 4 juta pound, menyaksikan perjanjian untuk pemain itu boleh meningkat dengan klausa tambahan tersedia bagi kelab Liga Perdana Scotland tersebut.

Ramsay, yang menandatangani kontrak lima tahun akan memakai nombor 22 di Anfield, dijangka menjadi sebahagian daripada pasukan utama tanpa cadangan untuk meminjamkannya kepada kelab lain menjelang saingan musim baharu ini.

Untuk rekod, Ramsay merupakan pemain baharu ketiga Liverpool selepas pembelian Darwin Nunez (Benfica) dan Fabio Carvalho (Fulham).

Ramsay juga menjadi perpindahan termahal Aberdeen, mengatasi 3 juta pound yang dibayar kelab liga Inggeris, Nottingham Forest untuk Scott McKenna pada 2020.

Dalam pada itu, Ramsay yang membuat 33 penampilan dengan menjaringkan satu gol dalam semua kejuaraan musim lalu untuk Dons dan memenangi Pemain Muda Terbaik SFWA turut bertekad bersaing bagi merebut laluan ke pasukan utama Klopp.

"Terdapat ramai para pemain muda yang berjaya mendapat tempat dalam pasukan senior seperti Trent (Alexander-Arnold) dan Harvey (Elliott).

"Laluan karier jelas wujud bersama Liverpool, jadi itulah antara sebab saya memilihnya untuk berada di sini. Liverpool bukan sekadar kelab besar sebaliknya turut memberi peluang kepada pemain muda dalam pasukan utama.

"Jadi sekiranya saya boleh beraksi dalam perlawanan pramusim dan tingkatkan permainan pada tahap terbaik maka tiada sebab mengapa saya tidak boleh berada dalam skuad utama," katanya.