Urus pelarian dengan perikemanusiaan: Khaled Nordin

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia digesa mengambil langkah berprinsip dan manusiawi, sesuai dengan kedudukan sebagai negara Islam yang dicontohi untuk mengiktiraf hak-hak asasi pelarian di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, akses kepada pendidikan, kesihatan dan kebebasan untuk bergerak dengan selamat adalah sangat asasi.

Menurutnya, sasaran menjadi negara dan bangsa maju tidak hanya bersifat luaran dan fizikal, sebaliknya kayu ukurnya adalah standard moral yang dipaparkan dalam hidup berbangsa dan bernegara.

“Marilah kita menjadi negara dan bangsa menyantuni tetamu dhuafa, miskin dan dizalimi, dihimpit keterdesakan serta bertarung nyawa dengan nilai-nilai Malaysia yang sarat dengan kasih sayang, insani, Islami serta berperikemanusiaan.

“Setidak-tidaknya, biarlah pelarian perang ini melihat bahawa sekali pun mereka datang dari daerah berkonflik, dunia ini sebenarnya belum tandus dengan kemanusiaan dan kasih sayang.

“Marilah kita menguatkan iltizam untuk menjamin hak-hak dan maruah mereka dihormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena sambutan Hari Pelarian Sedunia pada Isnin.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pelarian adalah mangsa keadaan yang terpaksa melarikan diri ke negara ini untuk mencari tempat selamat dan berlindung sebelum ditempatkan di negara penerima bagi memulakan kehidupan baharu.

Jelasnya, kebanyakan pelarian yang mencari perlindungan di Malaysia adalah orang Islam dari Syria, Myanmar, Iraq dan Afghanistan.

“Kesemuanya adalah pelarian perang yang tidak mempunyai peluang pulang ke tanah air dengan selamat.

“Atas dasar itu, Malaysia wajar mengambil tanggungjawab moral untuk memastikan mereka dilayan dengan penuh maruah dan perikemanusiaan.

“Kita adalah negara Islam, agama suci ini mengajar kita melakukan kebaikan kepada sesama manusia tanpa mengira status dan asal usul, apatah lagi kepada kanak-kanak dan wanita yang dizalimi.

“Pelarian perang ini adalah sebahagian daripada isu ummah yang mewajarkan kita memberikan kepimpinan dengan menjamin keselamatan mereka selagi mereka berada di tanah air ini,” jelasnya.