32 tahun Pas Kelantan kekal rekod tanpa rasuah

Mohd Amar (kanan) ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi PKNIK dan Pidato Ekonomi Sunnah 'Penggerak Pembangunan  Ummah' pada malam Ahad.
Mohd Amar (kanan) ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi PKNIK dan Pidato Ekonomi Sunnah 'Penggerak Pembangunan  Ummah' pada malam Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan terus bersih daripada rekod salah guna kuasa terutama berkait dengan rasuah sepanjang 32 tahun mentadbir negeri ini sejak 1990.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun ada laporan berkait dengan isu tersebut dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh pihak-pihak tertentu namun ia gagal dibuktikan.

"Kerajaan negeri terbuka dalam isu rasuah, sebab itulah kita memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM untuk membuat siasatan jika timbul satu-satu laporan," katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKNIK) dan Pidato Ekonomi Sunnah "Penggerak Pembangunan Ummah" pada malam Ahad.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan SPRM dalam memastikan kepatuhan terhadap integriti yang sentiasa dititik beratkan.

Beliau berkata, tiada kompromi kepada mana-mana individu yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.

Sinar Harian pada 15 Julai tahun lalu melaporkan seorang bekas pengurus besar Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang disiasat berkait rasuah projek bernilai lebih RM27 juta dibebaskan dengan jaminan SPRM.