Masjid Ar-Rahman sasar keselesaan 1,500 jemaah

Masjid Ar-Rahman yang baharu di Kampung Chempaka, Kota Bharu yang masih dalam pembinaan dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Masjid Ar-Rahman yang baharu di Kampung Chempaka, Kota Bharu yang masih dalam pembinaan dijangka siap pada penghujung tahun ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pembinaan Masjid Ar-Rahman yang baharu di Kampung Chempaka di sini, dijangka dapat meningkatkan jumlah kapasiti jemaah pada satu-satu masa sebanyak tiga kali ganda berbanding kapasiti sedia ada.

Bendahari Masjid Ar-Rahman, Rosli Salleh berkata, pembinaan bangunan masjid yang baharu setinggi dua tingkat di tapak asal tersebut dianggarkan menelan belanja keseluruhan RM4.5 juta.

“Proses pembinaan masjid tersebut bermula pada tahun 2020 dan disasarkan dapat menampung seramai 1,500 apabila siap pada penghujung tahun ini berbanding hanya 500 jemaah sebelum ini.

“Setakat ini, pembinaan masjid baharu yang memiliki dewan solat yang lebih besar tersebut sudah siap sebanyak 75 peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Pembinaan Masjid Ar-Rahman yang baharu menelan belanja keseluruhan RM4.5 juta dan masih memerlukan dana bagi mencukupkan kos berkenaan.
Pembinaan Masjid Ar-Rahman yang baharu menelan belanja keseluruhan RM4.5 juta dan masih memerlukan dana bagi mencukupkan kos berkenaan.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan masjid tersebut yang memasuki fasa dua itu bagaimanapun masih memerlukan kos sebanyak RM2 juta lagi bagi mencukupkan dana keseluruhan yang diperlukan.

“Tujuan pembinaan masjid ini untuk memudahkan urusan dan memberi keselesaan kepada ahli kariah masjid, namun kami masih memerlukan sebanyak RM2 juta lagi termasuk bagi pembinaan tandas, kelengkapan dan utiliti.

“Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Masjid Ar Rahman, Bank Islam 03036010040504 atau CIMB 86-0351820-2 atau boleh menghubungi saya di talian 013-9967037,” katanya.