'Persembahan seni, nyanyian Adibah Noor tinggalkan kesan'

Allahyarhamah Adibah Noor.
Allahyarhamah Adibah Noor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil akui sedih dengan pemergian penyanyi, Allahyarhamah Adibah Noor yang memberi kesan kepada orang ramai.

Ujar beliau, berita pemergian Allahyarhamah Adibah Noor itu ternyata mengejutkan orang ramai kerana tidak dimaklumkan mengenai keadaannya yang semakin tenat itu.

"Saya rasa ramai yang terkejut dengan pemergian Allahyarhamah Adibah Noor.

"Kita langsung tidak dikhabarkan dengan keadaan beliau yang rupanya semakin uzur dan tenat sehingga keluar berita semalam (Ahad) itu pun terima daripada aplikasi WhatsApp dan kawan-kawan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau pernah berkecimpung dalam aktiviti seni bersama Allahyarhamah Adibah Noor termasuk persembahan-persembahan gamelan.

"Dalam persembahan gamelan itu, Allahyarhamah Adibah Noor menjadi vokalis dan sememangnya siri persembahan itu meninggalkan kesan kepada orang ramai.

"Sekarang ini banyak komersial yang Allahyarhamah Adibah Noor hasilkan, pelbagai filem dan karakter-karakter (dilakonkan oleh Allahyarhamah Adibah Noor) yang akan kita ingat selamanya.

"Harapan saya agar karya-karya Allahyarhamah Adibah Noor sentiasa kita kenang dan menjadi penanda aras untuk generasi akan datang," ujarnya.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 petang akibat kanser ovari tahap empat pada Sabtu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarhamah Adibah Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai pada Ahad kira-kira jam 11.55 pagi.

Antaranya yang hadir bagi memberi penghormatan akhir terakhir adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad; pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac; pelakon, pelawak dan pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki; Pelakon, Syarifah Amani; Pelakon, Remy Ishak dan ramai lagi.