SPM: MTAR kekal prestasi terbaik tiga tahun berturut-turut

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Arraudhah (MTAR) yang meraih keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Arraudhah (MTAR) yang meraih keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
A
A
A

KOTA BHARU - Maahad Tahfiz Al-Quran Arraudhah (MTAR) di Perol, di sini berjaya mengekalkan prestasi terbaik dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama tiga tahun berturut-turut dengan gred purata sekolah (GPS) 2 pada tahun ini.

Pengetua MTAR, Mohd Zainudin Awang Seman berkata, keputusan tersebut juga merekodkan 100 peratus pelajar lulus peperiksaan SPM sejak tahun 2019 sehingga tahun 2021.

“GPS MTAR pada tahun 2019 ialah 3.28, tahun 2020 (2.72) dan 2021 (2). Semakin kecil angka GPS menunjukkan prestasi semakin baik, tahniah kepada pelajar, guru dan para ibu bapa.

“Pelajar SPM 2021 adalah generasi ketujuh dengan 13 lelaki khatam 30 juzuk al-Quran antara yang meraih 9A (seorang pelajar), 8A (lima pelajar), 7A (dua pelajar) 6A (seorang) 5A (seorang) dan 4A (seorang),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, sistem pembelajaran MTAR selama tiga tahun pertama memfokuskan kepada khatam 30 juzuk al-Quran dan dua tahun terakhir fokus kepada subjek SPM di samping mengulang hafalan al-Quran.

“Setiap tahun pengambilan pelajar Tingkatan Satu tidak melebihi 16 orang walaupun menerima permintaan antara 40 hingga 50 permohonan.

“Satu sesi tahun pengajian tidak akan melebihi 80 pelajar untuk menjaga kualiti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MTAR dalam perancangan membina sebuah kantin bagi menampung 100 pelajar bagi sesi pengajian pada tahun 2023.

“Anggaran dana yang diperlukan sekitar RM40,000 sehingga RM50,000 bagi membina kantin berkeluasan 7.6 meter x 13.7 meter.

“Bagi yang ingin menyumbang boleh hubungi 010-9063248 atau salurkan derma ke akaun Bank Islam Maahad Tahfiz Al-Quran Arraudhah 03120010014432,” katanya.