Lelaki diberkas larikan, rogol gadis bawah umur

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Padah melarikan serta merogol seorang remaja bawah umur, seorang lelaki diberkas bagi siasatan lanjut berhubung seorang remaja perempuan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan ke atas suspek dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat oleh seorang wanita berkaitan kehilangan anak perempuannya pada 16 Jun lalu.

"Suspek yang berumur 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan kira-kira jam 9.30 malam di sekitar Kuala Lumpur.

"Tangkapan dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, selain itu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan terhadap suspek," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan dijalankan polis mendapati mangsa yang berumur 13 tahun itu sebelum ini telah berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi di media sosial.

"Siasatan mendapati mangsa telah telah berkenalan dengan suspek sejak 14 Jun lalu.

"Setelah berkenalan selama dua hari, mangsa telah membuat temujanji bersama suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka," katanya.

Menurutnya, pada 16 Jun lalu, sekitar jam 6.40 petang, suspek telah mengambil mangsa di hadapan sebuah sekolah menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva warna perak dan membawa mangsa ke Melaka.

"Mangsa telah dibawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek telah melakukan hubungan seks bersama mangsa.

"Pada 17 Jun kira-kira jam 11.30 malam, suspek telah menghantar mangsa ke Sentul atas permintaan mangsa, mangsa kemudian meminta bantuan daripada seorang kawan tinggal di rumah kawannya," katanya.

Ujar Hoong Fong, mangsa kemudian meminta bantuan daripada rakan sekelasnya untuk mengambil mangsa dari Sentul untuk pulang ke rumah.

"Mangsa kemudian berjaya diselamatkan berdasarkan maklumat tersebut," katanya.

Katanya, suspek kini telah direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Sebuah kenderaan dan telefon bimbit turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Orang awam dinasihatkan agar sentiasa mengawasi pergerakan, pergaulan serta penggunaan peranti elektronik, anak masing-masing terutamanya remaja agar tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat," katanya.