Residensi Sky Awani 3 realisasi impian Keluarga Malaysia

Pemilik kediaman bergambar bersama tetamu kenamaan pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 pada Sabtu.
Pemilik kediaman bergambar bersama tetamu kenamaan pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa memastikan kediaman yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga dan praktikal serta mampu dimiliki juga antara kriteria utama ditetapkan.

Justeru katanya, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperkenalkan program Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Ismail Sabri (empat dari kiri) memegang bebola kaca sebagai tanda simbolik Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 pada Sabtu.
Ismail Sabri (empat dari kiri) memegang bebola kaca sebagai tanda simbolik Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif SkyWorld Development Group, Datuk Seri Ng Thien Phing.

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyerahkan kunci kediaman kepada 200 pemilik unit Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Sky Awani 3.

Residensi ini merupakan projek yang dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama syarikat SkyWorld Development Group.

Projek kerjasama ini dibuat bagi merealisasikan impian warga kota M40 memiliki rumah sendiri yang selesa dan kondusif pada harga mampu miliki di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur.

Projek ini menawarkan 1,905 unit kediaman pada harga RM300,000 seunit dengan setiap unit berkeluasan 800 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak letak kereta berbumbung.

Selain itu, Residensi SkyAwani 3 mempunyai SkyBridge yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai SkyBridge Kediaman Tertinggi di Malaysia iaitu 170.55 meter.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semua unit Residensi SkyAwani milik SkyWorld menerima pengesahan kualiti standard QLASSIC dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kategori rumah mampu milik di Malaysia.

Ini bermakna katanya, kualiti kemahiran kerja pembinaannya telah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh CIDB melalui prinsip pemeriksaan kali pertama selaras dengan objektif ‘Do Things Right the First Time and Every Time’.

Ismail Sabri (lima dari kiri) bersama tetamu kenamaan sebaik selesai Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 pada Sabtu.
Ismail Sabri (lima dari kiri) bersama tetamu kenamaan sebaik selesai Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 pada Sabtu.

“SkyWorld telah melancarkan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 1 hingga 5 dengan unit kediaman berjumlah 6,236 yang sudah terjual sehingga tahun ini.

“Syarikat SkyWorld juga merancang untuk membangunkan unit kediaman siri Awani bagi menyahut seruan Kerajaan ke arah menyediakan sejumlah 500,000 unit rumah mampu milik dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.