Pelancong terpaksa tunggu lama masuk ke Malaysia melalui Linkedua

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) mendakwa pelancong yang menaiki bas pelancongan menerusi Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) terpaksa menunggu selama berjam-jam di pintu sempadan sebelum dapat memasuki Malaysia.

Presidennya, Jimmy Leong Wie Kong berkata, keadaan itu amat membimbangkan dan tidak boleh diterima dan ia boleh menjejaskan industri pelancongan.

"Pelancong yang datang melalui bas-bas pelancongan menerusi Linkedua pada jam 8.30 pagi (hari ini) masih menunggu dalam barisan sehingga jam 12.30 tengah hari. Empat jam lamanya.

"Kakitangan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) memberi keutamaan kepada bas awam tempatan dan ini (keadaan ini) menyebabkan bas-bas pelancong bergerak dengan perlahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Justeru beliau berharap kerajaan Johor menyedari keadaan ini dan akan memberi perhatian serius dalam urusan di pintu masuk negara dan mencari jalan penyelesaian.

"Sekarang sempadan telah dibuka semula, industri seharusnya meningkatkan perkhidmatan demi keselesaan para pelawat," tambahnya. - Bernama