FAMA bina tiga lagi Pasar Tani Kekal tahun ini

FAMA akan membina tiga Pasar Tani Kekal di Cameron Highlands, Putrajaya dan Kuala Lipis, Pahang pada tahun ini. - Gambar hiasan
FAMA akan membina tiga Pasar Tani Kekal di Cameron Highlands, Putrajaya dan Kuala Lipis, Pahang pada tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KANGSAR - Tiga lagi Pasar Tani Kekal (PTK) akan dibina masing-masing di Cameron Highlands, Putrajaya dan Kuala Lipis, Pahang tahun ini membabitkan kos kira-kira RM12 juta.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, pembinaan PTK tersebut akan bermula Ogos ini menerusi peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Sebelum sesuatu PTK itu dibina, kita akan membuat kajian terperinci yang dilakukan pihak ketiga bagi memastikan projek dilaksanakan itu benar-benar berpotensi dan memberi faedah kepada penduduk sekitar.

"Program ini akan diteruskan sehingga akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi peruntukan yang telah diberi,” katanya selepas melawat Projek PTK Kuala Kangsar dan Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria.

Menurut Zainal Abidin, sehingga kini terdapat sebanyak 40 PTK manakala lima lagi sedang dalam pembinaan termasuk PTK Kuala Kangsar yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2023 selain di Kampung Gajah, Perak, Felda Palong, Negeri Sembilan, Kuala Krai, Kelantan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Katanya, FAMA menyasarkan nilai jualan kira-kira RM200 juta daripada PTK seluruh negara pada tahun ini dengan jumlah kutipan yang diperoleh setakat Mei ialah sebanyak RM85 juta membabitkan 2,000 peniaga. - Bernama