Dua individu diberkas tipu perunding kewangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua individu termasuk seorang wanita diberkas dipercayai terbabit penipuan melibatkan urusan perbankan pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, tangkapan dijalankan berhubung siasatan melibatkan seorang perunding kewangan bebas yang mendakwa menjadi mangsa penipuan dua suspek.

"Siasatan dijalankan mendapati mangsa yang berumur 43 tahun telah berurusan dengan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan bagi mendapatkan dokumen ‘Standby Letter Of Credit’ yang bernilai AS$250 juta dari bank di luar negara bagi menjalankan perniagaan perdagangan antarabangsa di Korea.

"Mangsa telah membuat bayaran tunai secara berperingkat pada 27 Februari 2022 dan 2 Mac 2022 berjumlah keseluruhan RM629,000 kepada suspek seorang lelaki tempatan bagi tujuan bayaran wang pemprosesan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa menerima e-mel daripada pihak ketiga yang mengemukakan dua dokumen berkenaan urusniaga tersebut pada 4 Mac 2022.

"Curiga dengan dua dokumen itu, mangsa kemudiannya membuat pengesahan di sebuah bank tempatan dan dipercayai palsu," katanya.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur kemudiannya menjalankan tangkapan ke atas dua individu dipercayai terlibat dalam kes ini.

"Dua individu yang diberkas terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan, masing-masing berumur antara 56 dan 57 tahun.

"Kedua suspek direman empat hari untuk siasatan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.