[VIDEO] Siasatan ke atas hakim, ancaman terhadap badan kehakiman

Sivarasa
Sivarasa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tanpa melalui prosedur yang betul disifatkan sebagai ancaman terhadap badan kehakiman.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, tindakan menyiasat seseorang hakim oleh mana-mana pihak mesti dilakukan dengan cara yang berbeza.

"Kami (barisan peguam) berkumpul di sini hari ini untuk menunjukkan bahawa semua peguam menentang tindakan SPRM yang secara terbuka mengumumkan mengenai siasatan terhadap Mohd Nazlan yang disifatkan berniat jahat dan tanpa asas sebenar.

"Siasatan terhadap hakim seperti Mohd Nazlan perlu dilakukan dengan cara yang berbeza. Namun, tindakan siasatan seperti yang sedang berlaku ini adalah ancaman terhadap kebebasan badan kehakiman," katanya semasa turut serta dalam Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di tempat letak kereta Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Peguam yang turut serta dalam Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di tempat letak kereta Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Peguam yang turut serta dalam Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di tempat letak kereta Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pada April lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat memaklumkan kritikan terhadap badan kehakiman sudah melampaui batas selepas SPRM memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan susulan catatan dari blog politik yang mendakwa beliau mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Ketika berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Sivarasa menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan individu paling tepat untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Kami menggesa Perdana Menteri kerana SPRM adalah di bawah beliau. Beliau perlu melakukan perkara yang betul dan memberitahu SPRM untuk menghentikan siasatan atau melakukannya dengan prosedur yang betul," katanya.



MOJO LIVE 17 JUN 2022

Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia di Padang Merbok, Kuala Lumpur, lapor wartawan Sinar Harian, Muhammad Amnan Hibrahim dan Muhammad Zakwan Nazaraly.

Mereka telah berkumpul sejak pukul 9 pagi sambil melaungkan ‘bebas kehakiman’.

Himpunan itu sebagai protes terhadap dakwaan terdapat cubaan untuk melemahkan badan kehakiman negara.

#SinarHarian #BeritaSemasa

" />